SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas barangan tiruan berjenama dianggarkan bernilai RM655,854 dalam operasi di dua premis berasingan di Balakong dan Seri Kembangan, semalam.

Serbuan itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa KPDNHEP Shah Alam dan Kajang pada jam 12 tengah hari.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azman Adam, berkata hasil risikan pihaknya selama seminggu mendapati kedua-dua premis itu dijadikan stor simpanan kasut, baju dan seluar tiruan berjenama.

“Setibanya di lokasi itu, kita meminta kerjasama pemilik untuk membuka premis namun tiada maklum balas diterima.

“Berikutan itu, kita terpaksa memecahkan stor berkenaan yang dipercayai dimiliki oleh pemilik sama untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

“Barangan itu kelihatan seperti barang tulen dan yakin ia bukan untuk dijual di pasar malam atau Uptown. Siasatan awal mendapati ia dijual secara atas talian serta kedai kasut,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan hukuman denda RM10,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi individu, jika sabit kesalahan.

“Bagi syarikat, pesalah boleh didenda sebanyak RM15,000 bagi setiap unit barangan,” katanya – berita harian