KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat multinasional beribu pejabat di ibu negara diserbu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya pagi tadi kerana disyaki terbabit dalam skim piramid.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi itu, drama bermula apabila pihak kawalan keselamatan premis di Jalan Jalil, Bukit Jalil, di sini enggan membuka pintu premis walaupun sudah menunggu hampir 10 minit.

Pada mulanya terdapat seseorang individu yang berkomunikasi melalui interkom, namun selepas dimaklumkan tujuan kedatangan dengan waran geledah, individu berkenaan enggan memberikan kerjasama sebelum pintu besi premis berkenaan terpaksa ditarik.

Sebaik pemeriksaan dijalankan, kira-kira jam 12 tengah hari muncul seorang lelaki yang mengaku sebagai peguam syarikat berkenaan yang meminta menunjukkan waran selain turut mengambil gambar operasi.

Tindakan lelaki berusia 40-an yang merakam gambar menimbulkan ketidakselesaan kepada anggota dan pegawai yang bertugas sebelum pihak polis yang turut hadir di lokasi meminta lelaki itu tidak mengambil gambar dan memadamkan gambar yang sudah diambil.

Bagaimanapun, lelaki itu enggan berbuat demikian dengan mendakwa pihak polis tidak mempunyai hak untuk memintanya menyerahkan telefon bimbit sebelum pihak polis meminta lelaki itu menunjukkan pengenalan diri.

Lelaki itu enggan menyerahkan sebarang pengenalan diri dan mendakwa dia adalah peguam sebelum berlaku kekecohan ekoran keengganan lelaki itu memberikan kerjasama.

‘Peguam’ berkenaan turut menunjukkan ‘kuasanya’ dengan mendakwa mahu menghubungi Ketua Polis Daerah dan wartawan kerana tindakan polis yang melanggar haknya, bagaimanapun situasi dapat dikawal kira-kira 10 minit kemudian.

Difahamkan, syarikat berkenaan yang diketuai seorang wanita bergelar Datuk Seri, menjalankan pelbagai perniagaan seperti telekomunikasi, hartanah, pelaburan, hiburan dan hospitaliti, namun perniagaan mereka didapati menjalankan skim piramid.

Mereka merekrut individu terutama dari China untuk melabur dengan pulangan lumayan, namun gagal menjelaskan pulangan kepada pelabur.

Sehingga jam 5 petang tadi operasi membabitkan 18 premis di sekitar ibu negara, Selangor dan Perak itu belum berakhir dengan rampasan pelbagai dokumen dan peralatan masih dilakukan.

Syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 27B (1) kerana menyalahi undang-undang untuk mempromosikan atau menjalankan skim piramid.

Sidang media berhubung butiran lanjut mengenai serbuan akan dilakukan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK, Datuk Roslan Mahyudin, di Ibu Pejabat KPDNKK Putrajaya, jam 11 pagi esok.