TELUK INTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Teluk Intan menyita barang kawalan yang diselewengkan bernilai lebih RM 140,000 dalam serbuan di sebuah gudang di Taman Perindustrian Anson, di sini tengahari Khamis.

Ketua Cawangan KPDNHEP Teluk Intan, Suhaimi Dawi berkata, barangan kawalan itu ialah 45,440 kg gula, 2,830 kg minyak masak dan 3,500 kg tepung gandum.

Menurut beliau, serbuan itu dilakukan sepasukan lapan anggota penguatkuasa yang diketuai Mohd Idzwan Mohd Puat kira-kira jam 12 tengahari Khamis.

“Pemeriksaan ini juga dibuat berdasarkan aduan dan maklumat yang diperolehi wujudnya aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi disimpan di dalam kuantiti yang mencurigakan.

“Hasil risikan selama dua minggu, mendapati pemilik premis menjadikan gudang sebagai stor simpanan dan juga tempat berniaga barang kawalan bersubsidi sebelum diedar dan dijual kepada pelanggan di sekitar Hilir Perak,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan pemilik premis mempunyai lesen barang kawalan runcit yang sah daripada KPDNHEP untuk menyimpan dan berniaga barangan kawalandi alamat No. 51, Jalan Pasar, Teluk Intan.

Bagaimanapun, katanya, pemilik premis menyimpan barang kawalan di alamat yang tidak dilesenkan iaitu di Taman Perindustrian Anson.

Di samping itu, ujarnya, pemilik perniagaan ini hanya dibenarkan untuk menyimpan barang kawalan tepung gandum, hula dan minyak masak tidak melebihi 500 kg setiap barangan sahaja bagi lesen barangan kawalan (runcit) dan bagi lesen barang kawalan (borong) had kuantiti yang dibenarkan bagi gula, dan tepung gandum tidak melebihi 30,000 kg manakala minyak masak tidak melebihi 20,000 kg.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.