TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Taiping menjalankan pemeriksaan ke atas 119 premis sempena Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali 2018 bermula 3 November lalu.

Ketuanya, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, pemeriksaan dibuat di beberapa premis di sekitar daerah Larut Matang dan Selama khususnya melibatkan 16 jenis barangan yang telah ditetapkan.

Beliau berkata, skim tersebut dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 selama tujuh hari.

“Pemeriksaan telah dibuat sejak 3 hingga 5 November. Dalam tempoh tersebut, tiada sebarang kesalahan dikesan.

“Kita dapati peniaga patuh terhadap penetapan harga terkawal serta tidak menjual melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.

Sementara itu, Mohamad Kamarol berkata, pihak KPDNHEP Cawangan Taiping turut memperkukuhkan pemantauan harga dengan mengadakan kerjasama bersama pelbagai pihak.

Katanya, antaranya kewujudan Pegawai Pemantau Harga yang menjalankan pemantauan harga barangan keperluan di Daerah Larut Matang dan Selama.

Beliau berkata, begitu juga dengan Friends Of KPDNHEP (FOK) yang merupakan mata dan telinga kementerian dalam usaha memastikan tiada kenaikan harga dibuat sewenang-wenangnya.

“Kementerian akan bekerjasama dengan pengguna yang menyertai program ini bagi menyebarkan maklumat berhubung kepenggunaan terutama mengenai isu harga barang.

“Kerajaan Perak dan agensi kerajaan lain serta penglibatan penghulu dan penggawa turut membantu memantau dan menyalurkan maklumat berkaitan kenaikan harga barangan di kawasan masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan peniaga bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

Katanya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti – sinar