PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi tempoh peralihan sebulan kepada peniaga bermula hari ini hingga 30 Jun bagi tujuan penyelarasan tanda harga barangan dan caj perkhidmatan yang dipamerkan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayuddin berkata, ia susulan pengumuman Kementerian Kewangan yang menetapkan sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula hari ini.

Katanya, fokus KPDNKK adalah terhadap isu harga yang tertakluk di bawah bidang kuasa Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 untuk memberi tumpuan penguatkuasaan daripada segi antipencatutan dengan objektif utama menangani perbuatan mencatut semasa perubahan kadar GST dan pada situasi lain.

Beliau berkata bagi menangani aktiviti pencatutan, manipulasi harga, kenaikan harga barangan secara tidak terkawal terutama di peringkat peruncitan, KPDNKK melaksanakan gerak gempur Ops Catut 4.0 bermula 24 Mei lalu hingga 30 Jun ini ke atas sektor peruncitan di seluruh negara.

Menurutnya, dalam Ops Catut 4.0 yang dimulakan pada 24 Mei lalu, sebanyak 7,542 premis diperiksa di seluruh negara membabitkan sejumlah 235,374 barang.

Beliau berkata, pelaksanaan Ops Catut 4.0 dijalankan melalui pemeriksaan, pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat peruncitan dengan memberi tumpuan kepada tindakan terhadap ketidapatuhan terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan KPDNKK.

“Ia termasuk perbuatan mencatut atau mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah di bawah Seksyen 14(1) AKHAP 2011 dan penandaaan harga di bawah Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit 1993).

“Selain itu, memberi petunjuk atau gambaran yang mengelirukan mengenai harga (Seksyen 14 Akta Perihal Dagangan 2011 dan Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta pengeluaran resit atau invois belian (Seksyen 140 Akta Perlindungan Pengguna 1999).

“Peniaga yang dikesan menaikkan harga akan diberikan notis untuk mengemukakan justifikasi dan penjelasan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 mengenai punca kenaikan harga yang tidak munasabah di pasaran.

“Kegagalan peniaga mematuhi arahan dalam notis untuk mengemukakan justifikasi, penjelasan, maklumat atau dokumen tertentu mengikut tempoh masa dan cara yang ditetapkan adalah menjadi satu kesalahan,” katanya pada sidang media selepas tinjauan pelaksanaan sifar GST di Pasaraya AEON Big, di sini, hari ini.

Mohd Roslan berkata, KPDNKK turut menyediakan soalan lazim (FAQ) dan Garis Panduan Pelaksanaan Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah bagi memberi kefahaman kepada peniaga dan pengguna berhubung perundangan ini dan ia boleh didapati di laman web www.kpdnkk.gov.my.

Dalam pada itu, katanya pelaksanaan keseluruhan Ops Catut bermula 15 Januari 2015 hingga 25 Mei lalu, di seluruh negara, sebanyak 2.54 juta premis membabitkan semua rantaian pengedaran diperiksa di seluruh negara.

“Dalam tempoh itu, sebanyak 5,537 notis di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 dikeluarkan terhadap peniaga yang dikesan cuba menaikkan harga barangan,” katanya.

Beliau berkata, KPDNKK membuka bilik gerakan di seluruh negara yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 10 malam bermula semalam bertujuan memudahkan pengguna membuat aduan melalui talian bebas tol 1800886800. Aduan juga boleh dibuat di Portal rasmi KPDNKK; emel http://eaduan,kpdnkk.gov.my serta SMS ke 15888 dengan menaip KPDNKK ADUAN – berita harian