SUNGAI SIPUT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Perak merampas 167 tong gas cecair petroleum (LPG) pelbagai jenama dalam serbuan di sebuah premis di sini, pada Selasa.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa II Negeri, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, premis itu dikesan memiliki barangan kawalan LPG tanpa lesen sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, premis dimiliki lelaki berusia 60-an itu juga didapati tidak mengikut prosedur keselamatan yang betul dalam penyimpanan kesemua tong gas seberat 2,338 kilogram yang bernilai RM17,802.20

Beliau memberitahu, dalam serbuan kira-kira jam 12.30 tengahari itu, tiga pekerja yang merupakan ahli keluarga sedang memunggah tong-tong gas berkenaan daripada lori.

“Risikan selama dua minggu mendapati premis berkenaan membekalkan barangan tanpa kawalan sekitar peruncit di Sungai Siput sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu kesalahan berniaga barang kawalan tanpa lesen yang membawa hukuman denda RM2 juta, jika sabit kesalahan.

“Kita turut merampas invois daripada pihak pembekal dan kita akan menyiasat perkara ini dari segala aspek termasuk pihak pembekal yang membekalkan kepada peniaga tanpa lesen ini,” ujarnya.

Menurut beliau, serbuan itu menjadikan keseluruhan 15 kes membabitkan sitaan 18, 410 kg sejak Januari lalu dengan nilai keseluruhan rampasan RM146,787.90 dan kompaun yang dikenakan RM3,700.