BAGAN DATUK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak mengambil pendekatan drastik tahun ini untuk tidak lagi berkompromi dengan peniaga yang ingkar mematuhi peraturan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, sebelum mereka hanya memberi peringatan dan tidak mengambil tindakan keras terhadap peniaga berkenaan.

“Tapi kali ini, kita akan terus memberi surat tunjuk sebab kepada peniaga peiaga yang ingkar mematuhi akta akta kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Anti Pencatutan dan Kesedaran Kepenggunaan sempena program Permukiman daerah Bagan Datuk di Dewan Komuniti Batu 20 Bagan Pasir pada Rabu.

Menurut Samsuddin, beliau telah meminta KPDNKK Perak dan cawangan – cawangannya untuk mengadakan lawatan lebih kerap ke premis perniagaan dan mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang ingkar.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta pengguna supaya menjadi pengguna yang bijak agar mereka tidak mudah ditipu dengan harga yang ditawarkan.