BATU KURAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) menegaskan tidak pernah menolak sebarang permohonan daripada pengusaha stesen minyak serta syarikat yang ingin melaksanakan promosi diskaun daripada harga siling bahan api.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata malah sehingga hari ini masih belum ada syarikat yang mengajukan permohonan berkenaan perkara itu.

Juateru itu beliau mengingatkan kepada pihak berkenaan yang mahu atau telah  berbuat demikian  untuk mematuhi prosedur yang digariskan pihak kementerian untuk memastikan kepentingan pihak pengguna terjaga.

“Mereka tidak boleh memberikan sesuka hati memberikan diskaun, perlu dapatkan kelulusan daripada kementerian, saya ingin dapatkan jumlah isipadu minyak yang ditawarkan, tempoh sejam atau seminggu,

sebarang elemen kejutan adalah tidak diperlukan.

“Saya nak ingatkan, jangan letak harga sesuka hati tanpa kelulusan kami kerana banyak kes menular di media sosial berkaitan perang harga bahan api di antara pengusaha, sedangkan tiada permohonan dihantar.

“Sekiranya kami membuat promosi meluas dan pengguna pergi ke stesen minyak tersebut, mendapati promosi hanya 100 liter terawal dan sebagainya, KPDNKK yang akan kena,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Bantuan kepada Mangsa Banjir Parlimen Larut di Arena Batu Kurau, di sini pada Sabtu.

Tambah beliau pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang indikasi bahawa proses permohonan diskaun bahan api itu akan dibatalkan namun ianya haruslah mengikut garis panduan yang tepat.

“KPDNKK bertangunggjawab untuk memastikan supaya mereka(pengguna) tidak tertipu dengan pelbagai jenis iklan dan promosi yang akhirnya akan membuatkan mereka rasa diperdaya, pengusaha boleh buat cuma dapatkan kelulusan,”ujarnya lagi.