IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan meningkatkan penguatkuasaan di sepanjang Ramadan bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, peniaga perlu mempunyai etika yang baik bagi memastikan pengguna tidak ditindas.

Menurut beliau, itu tidak bermakna pihak penguatkuasa KPDNKK melaksanaan penguatkuasaan di waktu tertentu, sebaliknya ia akan dilaksanakan pada setiap masa.

Bagaimanapun, kata beliau, ketika bulan Ramadan, pihak penguatkuasa akan mempertingkatkan pemantauan di kawasan yang selalu menjadi tumpuan pengguna.

“Ia perlu dilakukan dengan lebih kerap bagi memastikan memastikan tidak berlaku pencatutan harga yang keterlaluan dan untuk itu pengguna juga perlu bersama-sama membantu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutup Kursus Asas Penguatkuasaan Siri 1/2016 di Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta dekat sini pada Isnin.

Seramai 116 pelatih, masing-masing 84 pelatih lelaki dan 32 wanita terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa Gred N41 dan Penolong Pegawai Penguatkuasa Gred N27 menamatkan latihan mereka selama sebulan.

Mengulas mengenai kursus berkenaan, Hamzah berkata, KPDNKK sedang mengusahakan projek menaiktaraf Kursus Asas Pegawai Penguatkuasa KPDNKK sedia ada di seluruh negara.

Beliau memberitahu, kursus berkenaan berasaskan kepada bidang pengajian yang sudah direkabentuk dalam Pelan Operasi Latihan (POL) 2016 hingga 2020 dan tempoh masa kursus juga dijangka akan dipanjangkan daripada sebulan kepada tiga hingga empat bulan.

“Penekanan yang akan diberikan dalam kursus baru itu adalah dari aspek penyiasatan dan pembentukan sahsiah diri,” ujarnya.

Di dalam ucapannya, Hamzah berkata, POL yang dibentuk adalah selari dengan hasrat untuk mewujudkan Akademi Penguatkuasaan Perdagangan (APP) yang diharap dapat dilaksakan menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesebelas.

Menurut beliau dengan adanya akademi itu, pegawai penguatkuasa lantikan baru boleh terus melaporkan diri bagi menjalani latihan sebelum diberi penempatan, sekaligus dapat mengelakkan kejutan budaya.