IPOH: Setiap pegawai dan kakitangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta akan diberikan indeks prestasi utama (KPI) bagi menilai keberkesanan khidmat mereka kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, YB Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pihaknya akan menilai KPI setiap pegawai dan kakitangan dari semasa ke semasa.

Beliau memberitahu, Pusat Khidmat DUN Hulu Kinta mempunyai lapan kakitangan bagi memberi khidmat kepada kira-kira 100,000 penduduk di kawasan itu yang mempunyai kira-kira 54,000 pengundi.

“Akan ada KPI bagi melihat sejauh mana keberkesanan setiap kakitangan bagi memastikan rakyat mendapat sebanyak mungkin manfaat,” katanya ketika berucap pada majlis malam mesra Parlimen Tambun dan DUN Hulu Kinta bersama media di Hotel Casuarina@Meru di sini, malam tadi.

YB Arafat berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Pusat Khidmat Parlimen Tambun untuk menyelesaikan masalah rakyat, bukan sahaja penyelesaian jangka pendek, tetapi juga untuk jangka panjang.

“Selepas ini tiada lagi kita panggil rakyat berkumpul untuk pemberian hamper makanan, sebaliknya kita akan membantu menyelesaikan masalah rakyat.

“Kita akan dapatkan maklumat mereka dan mungkin salurkan kepada skim-skim bantuan kerajaan yang ada kerana masih ramai yang tidak tahu mengenai banyak skim yang ada,” ujarnya.

Di samping itu, kata YB Arafat berkata, pihaknya juga akan menyelesaikan segera masalah setempat seperti banjir kilat, setinggan dan tanah pertanian yang telah berpuluh-puluh tahun tetapi masih belum diselesaikan.