IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan aplikasi myWC untuk memudahkan orang ramai membuat carian tandas awam di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, aplikasi itu merupakan usaha inovatif pihaknya membantu masyarakat mendapatkan maklumat carian tandas berdasarkan penarafan bintang (star rating).

Beliau berkata, orang ramai juga boleh membuat pencarian melalui aplikasi itu sama ada tandas berbayar atau tidak, kemudahan-kemudahan lain seperti tandas OKU, tempat tukar lampin bayi dan sebagainya.

“Untuk fasa pertama ini, sebanyak 2,620 tandas milik pihak berkuasa tempatan (PBT) dimuatkan dalam aplikasi tersebut dan dijangka akan diperluaskan ke tandas-tandas premis lain.

“Orang ramai boleh memuat turun aplikasi tersebut menerusi Google Playstore atau App Store mulai esok,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2019 di Stadium Indera Mulia, di sini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dan Setiausaha Bandaraya Ipoh, Mohd Zakuan Zakaria.

Sementara itu, dalam ucapannya, Raja Kamarul Baharin Shah berkata, pihak KPKT bersama PBT mengumpul data asas berkaitan tandas di seluruh negara bagi tujuan aplikasi.

Katanya, data tersebut direkodkan dalam satu pangkalan data yang dinamakan Daftar Tandas Awam Pihak Berkuasa Tempatan Seluruh Malaysia (Datam).

sinar harian