PAGOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak menolak cadangan untuk membina tapak pelupusan sampah di mukim Jorak, Muar, bagi menggantikan lokasi sebelum ini iaitu di Bukit Payong, Batu Pahat.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, berdasarkan pemerhatian awal, pihaknya mengakui kawasan yang dicadangkan oleh kerajaan negeri itu adalah sesuai bagi pembinaan tapak pelupusan berkonsepkan sisa buangan kepada tenaga atau Waste to Energy (WTE).

“Saya dah lakukan lawatan kerja di lokasi itu dan mendapati, ianya strategik untuk mewujudkan tapak pelupusan berkonsep WTE. Malah, ia juga dijamin lebih mesra alam berbanding konsep ‘landfill’ yang dipraktikkan sebelum ini.

“Sebelum ini memang dah putuskan untuk buat di Bukit Payong, namun kerana mengambil kira ketidakselesaan penduduk, maka kita cari tapak alternatif sebelum kerajaan negeri memberi cadangan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Balai Bomba Pagoh, di sini selepas mengadakan lawatan kerja bagi cadangan tapak pelupusan sampah di mukim Jorak, sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Johor, Tan Hong Pin, Pegawai Daerah, Mohd Haffiz Ahmad serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Datuk Yahaya Madis.

Menurut beliau, kawasan keseluruhan seluas kira-kira 40 hektar itu akan membabitkan pusat pelupusan serta loji sehingga lapan hektar sahaja.

“Saya dah buat lawatan dan berpendapat tiada masalah jika ia diteruskan. Dari aspek fizikal juga semuanya sesuai. Pada saya, selagi kawasan itu bawah kerajaan negeri, maka kami selaku pelaksanaan akan akur. Cuma kalau sampai terpaksa beli tanah baharu, itu saya tak setuju,” katanya.

Tambah beliau, dengan kewujudan tapak pembinaan di Jorak, di sini, ia sekaligus mampu menyelesaikan masalah pusat pelupusan sampah di Simpang Renggam yang telah mencapai tahap maksimum dan kritikal – sinar