IPOH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sebarang pandangan serta cadangan daripada mana-mana pihak untuk mencari jalan bagi mencegah berulangnya insiden lapan remaja maut dilanggar kereta di Johor Bahru baru-baru ini.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan, pihak kementerian dan beliau sendiri menzahirkan rasa simpati berhubung insiden yang menyedihkan itu.

“Kementerian amat mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada mana-mana pihak termasuk Persatuan-Persatuan Ibubapa dan Guru bagi mengelak insiden seperti ini daripada berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis penyerahan cek peruntukan khas penyelenggaraan kecil tahun 2016 kepada 15 buah sekolah SJK (T) Bantuan Kerajaan di SJK(T) Kerajaan Buntong di sini pada Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai insiden lapan remaja maut dilanggar kereta di Johor Bahru baru-baru ini.

Dalam kemalangan pukul 3 pagi itu, lapan remaja maut, dua kritikal dan enam yang lain cedera selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 22 tahun di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru.

Pada majlis itu, Kamalanathan menyerahkan peruntukan khas sebanyak RM100,000 kepada SJK(T) Perak Sangeetha Sabah dan RM50,000 kepada SJK(T) Methodist Buntong.

da0a67d6-0e44-40a0-a63a-49025ad70f0b    3564ef40-ea18-4cd4-8220-b6884ef86ed8

7a2606c7-4ba0-41ea-85e7-a236babc0ae7