Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SUNGAI SIPUT:Kementerian Pendidikan Malaysia akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara dan Majlis Olimpik Negara bagi menggilap bakat atlet Sukan SEA KL 2017 yang terdiri daripada guru dan pelajar sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata seramai 150 atlet terpilih yang terdiri daripada 135 pelajar dan 15 guru sekitar sekolah di Malaysia mempunyai pelbagai potensi dalam acara sukan masing-masing.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa melaksanakan proses peningkatan prestasi di bawah asuhan sekolah-sekolah sukan seluruh negara bagi mengalakkan atlet-atlet muda ini mendapat pengiktirafan dan kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Kita akan menilai setiap mereka dengan melihat kepada skor, untuk kita bawa ke peringkat besar, kesemua atlet yang dapat masuk ke Sukan SEA ini mereka telah melalui Standard Pematuhan Piawaian (SOP) dari segi markah dan mencapai sasaran (benchmark) tersebut.

“Jadi, bila mereka telah sampai ke tahap itu tentu nak pergi ke peringkat lebih besar, saya kira KPM boleh bekerjasama dengan MSN dan MON kerana inilah badan yang sememangnya memberi peluang kepada atlet untuk menyertai pertandingan lebih besar pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Sungai Siput di sini pada petang Ahad.

Katanya, bakat-bakat atlet berkenaan akan digilap sebaiknya agar akhirnya mereka boleh mewakili negara di persada arena antarabangsa.

Mahdzir berkata, pihaknya sedia memperuntukkan insentif istimewa kepada pemenang pingat, namun jumlah dan kuantiti akan bergantung kepada badan induk terlebih dahulu.
“Saya yakin, ada di antara mereka yang akan mendapat pingat, semangat bangkit bersama itu telah ada,” katanya lagi.

Sebelum ini, beliau mengumumkan insentif istimewa bakal menanti atlet yang masih di bangku persekolahan dan bergelar guru sekiranya berjaya menggondol pi­ngat emas pada Sukan SEA 2017 (KL2017) yang bermula semalam.

Antara sukan tersebut yang disertai oleh pelajar dan atlet yang kebanyakannya dari sekolah-sekolah sukan ialah akuatik, olahraga, badminton, karate, bola jaring, bola sepak, gimnastik dan skuasy.