KUALA LUMPUR : Belum lagi reda kes paparan Jalur Gemilang dua minggu lepas, kini viral pula isu lagu Negaraku dinyanyikan dalam versi Mandarin sekaligus mengundang rasa tidak senang rakyat di negara ini.

Umum mengetahui lagu kebangsaan tidak boleh digubah mengikut ‘citarasa’ atau ikut suka kerana ianya termaktub dalam Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang boleh didakwa serta dijatuhkan hukuman.

Sejak awal pagi tadi, kecoh seketika dengan sebuah video berdurasi 1:22 memaparkan murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku secara beramai-ramai di dalam sebuah kelas menggunakan bahasa Mandarin.

Rata-rata murid dalam video itu berbangsa Cina dan mungkin seorang Melayu kerana dipercayai memakai tudung namun lokasi serta bilakah insiden itu berlaku belum dapat dipastikan.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan sebentar tadi memberitahu pihaknya sedang giat menjalankan siasatan berhubung penularan video tersebut ketika ini.

“KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar peraturan melibatkan Perlembagaan Negara Malaysia sama ada sengaja atau sebaliknya,” kata kenyataan itu.

Mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968, ianya diwujudkan bagi menjaga kredibliti, prestij, kewbawaan dan maruah lagu Negaraku.