KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat seperti yang dijadualkan.

Pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020 itu bakal mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru.

Dalam satu kenyataan di sini, KPM berkata, komited untuk bersama-sama membina Malaysia yang memiliki
persefahaman dan pengetahuan kukuh terhadap warisan kebangsaan.

“Pengenalan tulisan khat ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara,” kata KPM dalam kenyataan tersebut.

Katanya, perancangan pengenalan tulisan khat ini telah dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak tahun 2014. Usaha ini juga telah melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa dan
pendidikan.

Tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

Selain daripada itu, tulisan ini juga terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas ringgit
Malaysia.

Khamis lalu, KPM menjelaskan pengenalan tulisan khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah.

Jelasnya, perkara itu tiada kaitan dengan tulisan Jawi dan pelajar tidak dinilai di dalam peperiksaan.

Bagaimanapun, seramai 138 pemimpin akar umbi termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP menggesa Kabinet daripada parti itu membantah rancangan memperkenalkan tulisan khat atau seni kaligrafi dalam kurikulum Tahun 4 Bahasa Malaysia untuk sekolah vernakular.

Dalam kenyataan bersama, kumpulan itu berkata, pelajar sekolah vernakular setakat ini telah mempelajari tiga bahasa dan tiga sistem penulisan.

Tetapi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) tiada halangan berhubung pengenalan penulisan khat dalam kurikulum Bahasa Melayu Tahun 4 di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mulai tahun 2020.

Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock berkata, NUTP telah dimaklumkan Bahagian Perkembangan Kurikulum (BPK) Kementerian Pendidikan bahawa tulisan khat tidak diuji sebagai Penilaian Pencapaian Seni Bahasa serta dalam Pentaksiran Kemahiran Bahasa Melayu selain pembelajaran seni tulis itu menekankan aspek seni tulisan yang mengutamakan nilai estetika (keindahan).

Justeru, pihak NUTP tidak ada halangan atas sebab-sebab tersebut dan NUTP juga menganggap  penulisan khat ini dapat meluaskan pengetahuan para murid mengenai jenis-jenis tulisan kaligrafi yang ada di dunia ini seperti Barat, Timur dan Arab. – MalaysiaGazette