KLANG: Seorang pengendali kren terselamat selepas jentera berat itu tumbang di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah Klang, kira-kira jam 12.30 tengah hari, tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang dua kilometer dari arah Shah Alam menghala ke Banting.

“Dalam kejadian di tapak pembinaan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) itu, seorang lelaki berusia 27 tahun yang mengendalikan kren itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Keadaan lalu lintas sesak sepanjang dua kilometer selama kira-kira setengah jam dengan hanya satu lorong boleh dilalui dari arah Shah Alam menghala ke Banting.

“Anggota trafik yang berada di lokasi mengawal dan memastikan keadaan lalu lintas lancar di kedua-dua arah semasa menunggu kren bantuan tiba,” katanya ketika dihubungi NSTP tadi.

Shamsul Amar berkata, kren bantuan daripada Jalan Klang Lama tiba di lokasi pada 5.45 petang tadi.

“Kerja pengalihan dijalankan pada bila-bila masa dari sekarang dan dijangka selesaikan kira-kira jam 8 malam.

“Anggota trafik berada di lokasi untuk penutupan jalan pada bila-bila masa,” katanya – berita harian