PETALING JAYA: Pengerusi Naza Group, SM Faisal SM Nasimuddin akan mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang ahli Parlimen kerana mengkritik keputusan Mahkamah Syariah yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas isterinya.

Peguam Faisal, Akberdin Abdul Kader memberitahu FMT, komen Maria Chin Abdullah menunjukkan ahli Parlimen Petaling Jaya itu jahil mengenai fakta kes itu membabitkan bekas isteri anak guamnya, Emilia Hanafi.

“Beliau tidak berunding dengan pihak lain sebelum membuat kenyataan itu,” kata Akberdin sambil menambah beliau sudah diarahkan Faisal untuk memulakan prosiding penghinaan terhadap Chin “kerana menghina Mahkamah Syariah”.

“Sebagai ahli Parlimen, beliau perlu adil kepada kedua-dua pihak dan lebih menghormati undang-undang.”

Semalam, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 7 hari terhadap Emilia kerana mengubah tarikh lawatan anaknya untuk bersama bapa mereka.

Beliau kini dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Ini menyebabkan Chin mengeluarkan kenyataan wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia.

Emilia dan Faisal bercerai pada 2016. Emilia diberikan hak penjagaan penuh ke atas 3 anaknya, Fawwaz, Faiz dan Farhan.

Akberdin mendakwa Emilia tidak pernah membenarkan Faisal membawa anak mereka keluar dari rumahnya walaupun diberikan hak melawat pada Julai lalu.

“Beliau sepatutnya boleh membawa anaknya keluar pada Sabtu dan pulang pada Ahad. Tetapi, beliau tidak pernah dibenarkan berbuat demikian, tidak sekalipun, termasuk untuk bermalam, apatah lagi beberapa jam pada waktu siang.

Akberdin berkata, hukuman penjara itu menunjukkan mahkamah serius untuk kedua-dua pihak mencapai persetujuan berhubung perintah mahkamah.

“Ia tidak boleh sebelah pihak. Beliau tidak boleh buat keputusan sendiri.”

Emilia bertegas beliau tidak menafikan hak lawatan bekas suaminya atau menentang perintah mahkamah.