KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah dari pertuduhan dengan sengaja gagal mengisytiharkan perolehan harta, empat tahun lepas.

Hakim Sohaini Alias membuat keputusan itu selepas pasukan pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu, lapor portal The Star Online.
Ku sebelum ini didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 23 Dis 2013 dan 21 Jan 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 49(3) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta, penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Budiman Lutfi Mohamed dan Ku diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

-AstroAwani