KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah ‘mencabar’ dua pesaingnya dalam merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan kali ini, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin untuk berdebat.

“Kalau saya berani membuat penjelasan (terhadap isu), (calon) lain patut ikut serta dan sanggup buat penjelasan yang sama,” katanya menerusi temubual bersama Astro Awani.

Selain Tengku Razaleigh, Ahmad Zahid dan Khairy, empat lagi calon yang akan bertanding bagi mengisi jawatan nombor satu dalam UMNO ialah penulis blog, Rahmat Azim Abdul Aziz, Rosile Saat (UMNO Bangi), Mohamed Iqbal Maricair (UMNO Bandar Tun Razak) dan Mohd Yusof Musa @ Jamaluddin (UMNO Iskandar Puteri).

Senarai akhir calon yang layak akan diumum hari ini.

Bulan lalu, Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO susulan kekalahan pertama Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO, kini menjalankan tugas Presiden UMNO.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO, pula membuat kejutan saat akhir apabila mengumumkan pencalonannya beberapa jam sebelum pencalonan ditutup.

Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini menyatakan hanya mahu bertanding jawatan naib presiden – berita harian