Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SELAMA: Calon Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad, sepatutnya mempersoalkan sumber kekayaan anaknya sendiri daripada menuduh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai ‘pencuri’.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tohmahan bekas presiden UMNO itu tidak berasas sama sekali.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, Tengku Adnan sebenarnya ahli perniagaan yang bermula berniaga secara kecil-kecilan hingga menjadi seorang usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya.

“Manakala anaknya (anak Dr Mahathir) tak pernah susah, tiba-tiba kaya, mana datangnya (punca kekayaan)? Cuba kita persoalkan ini, jadi jangan persoalkan siapa mencuri, mungkin dia mencuri dan berikan kepada anaknya.

“Saya yakin yang sebenarnya merekalah pencuri besar, sebab itu hari ini dia takut kerana sudah nampak putik-putik bahawa kerajaan (BN) yang ada pada hari ini akan cuba menentukan keadilan diberikan yang mana salah, tak kira waktu bila pun kita akan ambil kira supaya akhirnya mereka akan dibawa ke mahkamah,” katanya.

Pada 4 Mei lepas, Tengku Adnan menerusi kenyataan dua muka surat telah menjawab dakwaan Dr Mahathir,yang melemparkan tuduhan ‘pencuri’ pada Ku Nan dalam siri ceramah pembangkang.

Justeru, calon BN Parlimen Putrajaya itu mempersoalkan kontrak mana yang beliau ambil, sedangkan beliau adalah ahli perniagaan dan diisytiharkan antara orang terkaya di Malaysia pada 1992, yang kemudiannya terbabit dalam politik.

Tengku Adnan mengakui menceburi politik tidak menambahkan kekayaannya seperti yang dituduh Dr Mahathir, sebaliknya menggunakan harta sendiri untuk membantu rakyat dan warga Putrajaya.

Hamzah berkata, Dr Mahathir sendiri tahu Tengku Adnan adalah Setiausaha Agung UMNO sejak beliau menjadi Presiden parti itu sebelum ini.

“Ketika itu saya masih ingat lagi…Tengku Adnan diminta untuk menjadi Setiausaha Agung UMNO bagi membantu menguruskan pentadbiran UMNO secara teratur dan sistematik ketika itu,” katanya.

BERITA BERKENAANCalon Lompat Kawasan Ditolak Pengundi?