KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah Tengku Adnan Tengku Mansor yang dijadualkan berlangsung selama dua hari tidak dapat dimulakan kerana bekas menteri Wilayah Persekutuan itu memfailkan permohonan untuk hakim menarik diri daripada perbicaraan itu.

Peguam, Tan Hock Chuan yang mewakili tertuduh berkata, anak guamnya memfailkan permohonan itu kerana bimbang Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mungkin berat sebelah.

Menerusi afidavit yang diserahkan kepada mahkamah untuk menyokong permohonan itu, Tengku Adnan mendakwa beliau tidak akan mendapat perbicaraan adil kerana Nazlan tahu fakta kesnya selepas menjatuhkan hukuman kepada seorang lagi tertuduh dalam kes itu yang juga ahli perniagaan, Tan Eng Boon yang mengaku bersalah kerana memberi rasuah pada Selasa lalu.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, Nazlan mungkin dipengaruhi fakta dalam kes Eng Boon dan media juga melaporkan Eng Boon akan menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraannya.

Nazlan kemudian mengarahkan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim memfailkan afidavit untuk menjawab permohonan itu menjelang 3 petang ini.

Hakim akan mendengar permohonan Ku Nan pada esok.

Selasa lalu, Nazlan menjatuhkan hukuman denda RM1.5 juta kepada Eng Boon yang mengaku bersalah memberi rasuah RM1 juta kepada Ku Nan dalam transaksi tanah melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Eng Boon, 70, mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Nazlan ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, beliau mengambil kira Eng Boon bersubahat dengan orang lain dalam melakukan jenayah itu, di mana kedua-duanya dituduh bersama.

“Bagaimanapun, rasuah adalah satu jenayah yang serius kerana ia melemahkan pembangunan sosial dan ekonomi sesebuah negara. Ia juga merosakkan landskap sosial masyarakat,” kata Nazlan kelmarin.

Eng Boon yang merupakan pengarah sebuah syarikat pemaju hartanah, didakwa memberi rasuah RM1 juta kepada Ku Nan menerusi cek Public Bank milik Pekan Nenas Industries Sdn Bhd.

Ku Nan yang juga ahli Parlimen Putrajaya, didakwa menerima RM1 juta daripada Eng Boon untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) menambah nisbah lot industri sebidang tanah di Jalan Semarak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Disember 2013.

Dia didakwa di bawah Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan.