Oleh: Aida Aziz
SEPI…itu tanggapan buat mereka yang pertama kali berkunjung ke Kuala Gula, lokasi yang gah diperkatakan di seluruh dunia mengenai ratusan burung dari pelbagai spesies yang singgah di sini.
Kuala Gula yang semanis namanya ini terletak di dalam daerah Kerian dan dikenali sebagai sebuah perkampungan nelayan yang menjurus kepada aktiviti menangkap udang serta kerang.
Mungkin sesetengah pihak beranggapan tiada sebarang aktiviti yang tertumpu kepada pelancongan berasaskan burung, malah tiada sebarang kelibat pemerhati dari Amerika Syarikat, Australia, Eropah mahupun Jepun.
Namun begitu, tanggapan itu ternyata meleset menjelang akhir bulan Ogos sehingga April, kerana para pelancong dan pemerhati akan berpusu-pusu untuk melihat keunikan spesies burung dari pelbagai negara.
Asal Nama Kuala Gula
Mengapa gula? Adakah di sini terdapat kilang gula dan sebagainya? Persoalan itu sering bermain di fikiran ramai orang yang tertanya-tanya tentang nama unik tempat tersebut.
Menurut salah seorang pemandu pelancong yang ditemui, Tan Eng Chong, dahulunya Kuala Gula merupakan kawasan hutan paya laut, namanya diambil sempena ladang-ladang tebu yang dibuka oleh orang Inggeris dalam abad ke-19.
“Pada ketika itu gula dihasilkan dengan memerah keluar air tebu menggunakan batu kisar yang besar, batu ini digerakkan dengan kerbau atau lembu.
“Air tebu yang terhasil akan dipanaskan dan dikeringkan di bawah terik matahari sehingga menjadi gula pepejal yang berupa seperti kerikil kecil.
“Industri gula telah menyebabkan pekan Kuala Gula semakin berkembang dan Sungai Gula menjadi laluan perdagangan ke Selinsing, Port Weld (Kuala Sepetang) dan Pulau Pinang,” kata Tan.
Ujarnya, batu-batu kisar yang bersejarah ini masih boleh ditemui di ladang kelapa sawit dan tokong Cina berhampiran, malah boleh dikatakan semua tempat menggunakan nama Gula.
“Tempat Kuala Gula, air sungai dipanggil Sungai Gula dan ladang Gula, boleh kata semuannya manis, tambah lagi hasil udang yang manis berbanding tempat-tempat lain,” katanya.
 
Perkampungan Nelayan Melayu dan Cina
 Kehidupan penduduk di sini banyak bergantung kepada aktiviti nelayan yang rancak berjalan, di samping faktor aktiviti pelancongan makanan berasaskan ketam lembut.
Majoriti penduduk di sini juga ialah Cina dan selebihnya Melayu dan India, namun begitu mereka bekerjasama dan saling bantu-membantu bagi menaikkan nama Kuala Gula di mata dunia.
“Kehidupan nelayan Kuala Gula mengikut pasang surut air, seminggu kerja dan seminggu rehat iaitu bermakna kalau air mati (tiada pasang surut) maka tiada hasil.
“Jika musim baik, kami boleh dapat banyak hasil udang dan ada yang sampai tidak boleh bawa balik sebab terlalu banyak, bagaimanapun hasil udang sekarang berkurangan berbanding dahulu disebabkan pelbagai faktor,” kata Tan.
Sementara itu, ujarnya terdapat banyak aktiviti ekonomi seperti penghasilan belacan, ikan kering dan ketam lembut yang sememangnya diperkenalkan dari Kuala Gula.
 
Konservasi Burung dan Ketam Lembut 
Kuala Gula merupakan satu daripada 55 kawasan di Malaysia yang dikenalpasti sebagai Important Bird Area (IBA), pemilihan ini berdasarkan kepada kriteria iaitu kehadiran burung yang menghadapi kepupusan.
Helmi Sam, merupakan salah seorang nelayan dan pengusaha ketam lembut turut mengakui kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara bergantung kepada musim serta cuti hujung minggu.
Menurut Helmi pengenalan ketam lembut sejak beberapa tahun lalu, bermula di Kuala Gula lalu menjadi tular di seluruh Malaysia.
“Idea penghasilan ketam lembut merupakan inisiatif kami, kalau di Siam mereka gunakan ubat untuk lembutkan ketam, tetapi kami gunakan cara semulajadi yang mengambil masa hampir sebulan.
“Cara tradisional di sini dengan mematahkan kaki ketam untuknya bersalin cengkerang, kemudian kulit baru yang lembut terhasil, berbanding di Siam yang menggunakan cara kimia,” ujarnya.
Bagi yang ingin melihat keunikan burung seperti Burung Botak Upeh (Mycteria Cinerea) dan Botak Kecil (Leptoptilos Javanicus) bolehlah merancang percutian mereka.
Antara burung yang datang ke Kuala Gula, termasuklah yang terbang sejauh 10,000 km (6,200 batu) semasa musim penghijrahan, difahamkan jarak ini adalah lebih kurang sama dengan tujuh kali perjalanan pergi-balik antara Perlis dan Johor Bahru.