Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH : Pasukan Kuala Kangsar muncul juara Liga Amanjaya 2016/2017 setelah menumpaskan juara musim lepas, Ipoh Timur, 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Perak pada malam Sabtu.

Pada babak awal perlawanan merebut Perisai Menteri Besar itu menyaksikan pasukan Bandar Diraja diserang bertali arus Ipoh Timur namun berjaya mengekang asakan pasukan lawan.

Muhammad Akmal Abdullah membuka tirai gol pertama sekaligus mendahului perlawanan pada minit ke-12 ketika kedua-dua pasukan masih mencari rentak permainan.

Pasukan Ipoh Timur melakukan counter-attack beberapa kali untuk mencari gol penyamaan namun gagal dengan kekemasan taktikal pasukan di bawah pimpinan Kapten Mohd Najmin Dali itu.

Pada babak kedua, kedua-dua pasukan memperkemaskan jentera serangan untuk membolosi gawang gol pihak lawan.

Muhammad Farid sekali lagi menggegar gol lawan dengan sepakan kencang dari dalam kotak penalti pada minit ke-78.

Tidak berputus asa, Ipoh Timur akhirnya berjaya mencari gol saguhati melalui Muhd Nur Affandy Hirulniza, kurang dua minit dari masa penuh perlawanan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang hadir menyaksikan perlawanan itu menyampaikan hadiah dan pingat kepada para pemenang.

 

liga-amanjaya 4
Kuala Kangsar yang berjaya merebut Perisai Menteri Besar itu turut membawa pulang wang tunai RM 20,000, manakala Ipoh Timur RM10,000.
Turut hadir menyaksikan liga tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid.

 

Liga Amanjaya yang disertai pasukan dari 24 Parlimen di negeri ini diilhamkan Dr Zambry bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak.

Sementara itu, kapten pasukan Kuala Kamgsar, Mohd Najmin Dali berkata kejayaan itu adalah hasil latihan dan disiplin setiap pemain yang mematuhi arahan jurulatih mereka.

“Kuala Kangsar mempunyai ramai pelapis yang serba boleh dan saya harap bakat mereka ini akan diketengahkan pada masa hadapan.

“Sebagai ketua pasukan saya amat berbangga melihat pasukan ini sampai ke peringkat akhir dan membawa kemenangan ke daerah kami,” katanya ketika ditemui Suara Perak.