Labis: “Bangunan kuarters guru ini dibina 15 tahun dahulu dan mulanya terdapat beberapa guru yang mendiami perumahan ini sebelum ia kemudian terbiar begitu sahaja,” dakwa penduduk Kampung Paya Merah Lama, Amran Ismail.

Amran, 42, berkata, kuarters guru itu hanya digunakan dalam tempoh dua atau tiga tahun sahaja kerana beberapa guru yang sempat mendiaminya mendakwa terdapat gangguan makhluk halus terutama pada waktu malam yang mengacau kehidupan mereka.

“Dahulu masa kuarters guru ini mula dibuka, kami penduduk kampung ini pun mendapat manfaat kerana dapat membawa anak menggunakan taman permainan dan kemudahan surau yang terdapat di sini. Jadi, bolehlah kami tumpang beriadah kerana ia adalah kemudahan paling dekat dengan kampung ini.

“Bagaimanapun, keadaan ini mula berubah apabila kuarters guru itu ditinggalkan dan tidak dihuni lagi.

“Sejak itu juga, beberapa pihak tidak bertanggungjawab bertindak mencuri perkakas rumah seperti perabot, tingkap, besi, paip dan apa sahaja yang boleh dijual,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya Merah Lama, Jalan Tenang, semalam.

Tinjauan mendapati kuarters guru setinggi empat tingkat itu dianggarkan mempunyai 80 unit kediaman membabitkan lima blok.

Kini, ia mengalami kerosakan teruk dipercayai akibat ketiadaan penyelenggaraan yang berjadual.

Menurut Amran, akibat ditinggalkan begitu sahaja, kuarters itu menjadi tumpuan penagih dadah, pelajar ponteng sekolah dan sarang maksiat sehingga keselamatan penduduk turut terancam.

“Penduduk di sini pernah menghantar surat kepada pihak berwajib mengenai masalah ini dan turut mencadangkan kuarters itu dijadikan rumah sewa atau asrama sekolah supaya dapat dimanfaat dengan baik sejak beberapa tahun lalu, namun sehingga kini tiada tindakan susulan dilakukan,” katanya – hmetro