DHAKA: Pakar hak asasi kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, etnik Rohingya masih ditindas di Myanmar, namun tidak banyak peluang untuk membicarakan pelakunya kerana mereka dilindungi negara sekutu berkuasa.

Wakil khas PBB ke Myanmar, Yanghee Lee mengeluarkan kenyataan itu ketika satu kunjungan ke Bangladesh di mana lebih 700,000 etnik minoriti Muslim itu melarikan diri daripada operasi besar-besaran tentera Myanmar, sejak Ogos lalu.

Pemerhati hak asasi manusia PBB dan Amerika Syarikat (AS) menuduh Myanmar melaksanakan pembersihan etnik, selepas kumpulan hak asasi dan pemberita melaporkan kisah kejam rogol, bunuh dan tindakan memusnahkan perkampungan, sejak operasi itu bermula susulan serangan hendap oleh pemberontak Rohingya.

“Keganasan sistematik menyasar baki etnik Rohingya masih berterusan,” kata ahli akademik Korea Selatan itu kepada pemberita di Dhaka, selepas mengunjungi beberapa kem di selatan Bangladesh yang menjadi penempatan sementara kira-kira sejuta pelarian Rohingya.

Bagaimanapun, beliau membayangkan harapan menyaksikan jeneral Myanmar didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Hague dalam masa terdekat mungkin tidak akan berlaku dengan mencadangkan Russia dan China mungkin melindungi mereka.

“Kita maklum bahawa rujukan kes kepada ICC di bawah perjanjian antarabangsa adalah Majlis Keselamatan PBB perlu merujuknya kepada ICC. Kita tahu ada dua kerusi tetap dalam ICC adalah sekutu Myanmar yang tidak akan membiarkan ia berlaku,” katanya.

Beliau tidak mencadangkan negara itu, namun sebelum ini ahli tetap Russia dan China menyokong Myanmar dalam Majlis Keselamatan dan melindungi negara itu daripada tindakan. – AFP