IPOH: Sebuah kubu perlindungan bawah tanah ditemui berhampiran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini, yang dipercayai dibina tentera British semasa Perang Dunia Kedua.

Kubu itu berkeluasan kira-kira 9 X 9 meter dengan ketinggian 2.5 meter dan boleh memuatkan antara 30 dan 40 orang pada satu-satu masa.

Ketua Penyelidik Malaya Historical Group, Shaharom Ahmad berkata, kubu itu ditemui pihaknya pada Rabu ketika membuat kajian sejarah di sekitar kawasan lapangan terbang berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan kajian awal, kubu tersebut dibina sekitar tahun 1940 dan 1941 oleh kontraktor dari negara China, bagi membolehkan tentera British berlindung daripada serangan udara tentera Jepun.

Sehubungan itu, kata Saharom, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa, khususnya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Majlis Bandaraya Ipoh Persatuan Warisan Perak untuk tindakan selanjutnya.

kubu-perlindunganbawah_tanah 2

“Kita akan mengenalpasti apa tindakan selanjutnya untuk kita buat dengan kubu perlindungan bawah tanah ini, untuk kita bangunkan sebagai satu aset pelancongan negeri Perak sebab kawasan ini adalah strategik untuk kita bangunkan sebagai satu hub pelancongan `military historical’,” katanya kepada pemberita ketika menunjukkan lokasi kubu itu di sini, pada Jumaat.

Menurut Shaharom, selain daripada kubu perlindungan itu, terdapat satu bunker dan dua kubu pertahanan yang terletak di dalam kawasan keselamatan LTSAS.

Beliau memberitahu, kubu perlindungan bawah tanah itu adalah yang pertama ditemui pihaknya di Malaysia, di samping antara 40 dan 50 lagi kubu pertahanan yang ditemui di beberapa negeri seperti di Kelantan dan Kedah.

Sementara itu, Pengurus LTSAS, Mohd Ali Osman menyatakan kesediaan untuk bekerjasama memelihara kubu tersebut bagi meningkatkan industri pelancongan di negeri Perak.