MANJUNG: Kerajaan negeri Perak berminat untuk menjadikan kubu perlindungan bawah tanah (bunker) yang ditemui di kawasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) sebagai satu lagi produk pelancongan negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu dengan pihak terbabit seperti Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Menurut beliau, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan kubu itu oleh satu pasukan yang membuat kajian di kawasan LTSAS yang mendapat kebenaran pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Kita juga telah mendapat maklumat bahawa penemuan itu adalah penemuan bunkers yang berada dalam kedudukan terbaik dan masih kuat.

“Ianya boleh dijadikan salah satu data tarikan dan insya Allah, kerajaan negeri akan mendapatkan maklum balas lanjut dan kita akan berusaha untuk menjadikannya salah satu tarikan pelancongan ke negeri Perak,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan pelancongan di Kg Tanjung Kepah, Lekir dekat sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Beliau mengulas penemuan kubu perlindungan bawah tanah di kawasan LTSA, Ipoh, yang dipercayai dibina tentera British semasa Perang Dunia Kedua.

Kubu itu berkeluasan kira-kira 9 X 9 meter dengan ketinggian 2.5 meter dan boleh memuatkan antara 30 dan 40 orang pada satu-satu masa.

Dr Zambry berkata, mungkin ramai pelancong yang ingin melihat dan merasai keadaan kubu bawah tanah itu yang dibina sewaktu Perang Dunia Kedua.

“Kalau sesiapa pergi ke Vietnam dan Kemboja terdapat bunkers yang dibina di bawah tanah dan ia menjadi satu tarikan,” ujarnya.

Menteri Besar menambah, beliau sendiri juga akan pergi melihat sendiri kubu perlindungan bawah tanah itu.