Lambang kekejaman Kempeitai Jepun

 

KETIKA pendudukan Jepun di Tanah Melayu antara tahun 1942 – 1945, bunyi siren amaran dari balai polis seakan-akan sudah sebati dengan penduduk Kampung Serdang, Sitiawan.
Sebaik sahaja siren amaran berbunyi, umpama ayam ternampak helang, penduduk kampung bertempiaran lari mencari tempat perlindungan, menyelamatkan diri dari mangsa kekejaman Kempeitai negara matahari terbit itu.

Kempeitai ialah polis tentera Jepun yang paling berkuasa dan digeruni. Selain tugas utama memerhati kegiatan dan disiplin tentera, mereka juga mengawal penduduk tempatan.

Kubur Panjang di Padang Kapal Terbang Sitiawan

Kesengsaraan dan kekejaman Kempeitai masih belum padam dalam ingatan Mimunah Latif, 84, salah seorang penduduk asal Kampung Serdang.

Kisah ‘kubur panjang’ yang menjadi tempat persemadian penduduk yang dibunuh, masih menjadi ingatannya sehingga ke hari ini.

Ia digelar kubur panjang kerana digali dalam satu barisan melintang bertujuan untuk menanam mangsa-mangsa yang ditangkap dan dibunuh secara rambang.

“Memang opah pernah merasa macamana siksanya hidup dalam zaman Jepun, tetapi kisah kubur panjang ini diceritakan sendiri oleh bapa mentua opah, Wan Mohamad semasa dia masih hidup.

“Sebaik sahaja Jepun berjaya takluk Tanah Melayu dan pihak Inggeris melarikan diri, habis dikutipnya orang-orang kampung di sini (Kampung Serdang). Mereka dibawa di tengah-tengah padang kapal terbang Sitiawan.

“Di situ Jepun pasang besi paip besar dan disuruhnya orang-orang yang ditangkap tadi meniti batang besi itu lalu di tusuk dengan benet (pisau di depan laras senapang) sebelum ditendang masuk ke dalam lubang kubur panjang,” jelas Maimunah yang mesra disapa opah.

 

IMG_8143

Kambus Mayat Hanya Bila Penuh

Menurut Maimunah, suara teriakan dan takbir jelas kedengaran ketika waktu kejadian itu kerana masih ada mangsa yang belum mati dan ditanam hidup-hidup oleh pihak Jepun.

Lebih menyedihkan, semua mangsa di dalam kubur panjang itu diletakkan secara bertindan dan kubur hanya akan dikambus apabila penuh.

“Pak mentua opah cerita semasa dia lalu di kawasan kubur itu mesti terdengar orang menjerit minta tolong… ada juga yang laung Allahuakhbar! Allahuakhbar sehingga beberapa hari sampai mati.

“Kubur yang digali secara melintang di tengah-tengah padang itu hanya akan ditutup bila sudah penuh, bayangkan bagaimana keadaan masa itu berapa ramai yang mati dibunuh,” kata Maimunah yang mempunyai lima orang anak, lapan cucu serta tiga cicit.

Tanam Pokok Pisang di Atas Kubur Panjang

Sebagaimana Jepun ketika itu sinonim dengan duit cap pokok pisang, maka kawasan di sekitar kubur berkenaan juga dikatakan ditanam dengan pokok pisang.

“Tak tahu samada benar atau tidak, kata orang dulu-dulu memang pokok pisang di situ subur belaka.

“Difahamkan, salah satu tujuan mereka tanam pokok pisang di situ adalah untuk mengelakkan kapal terbang British mendarat,” katanya.

IMG_8088

Pedang Samurai dan Bayangan Tentera Jepun

Penemuan dua bilah pedang samurai di lokasi berhampiran kubur panjang beberapa tahun lalu menjadi salah satu bukti kukuh mengenai peristiwa yang diceritakan oleh bapa mentua Maimunah.

Pedang samurai yang dipercayai milik tentera Jepun itu ditemui oleh salah seorang kenalan Maimunah yang kebetulan melalui jalan tersebut.

“Seingat opah, waktu itu opah baru ada anak dua orang, jalan di situ tengah dibaiki dan ada di antara mereka terjumpa dua pedang samurai yang dililit dengan kain warna hitam, putih dan merah di hulu pedang.

“Sayangnya pedang itu tak tahu di mana sekarang sebab sudah banyak bertukar tangan…kalau masih ada, boleh terus disimpan untuk anak cucu kita tengok,” ujarnya.

Maimunah mendakwa, sehingga kini masih ada beberapa kejadian aneh yang berlaku di padang kapal terbang itu, termasuk bayangan tentera Jepun yang seakan-akan sedang berkawad.

“Percaya atau tidak terpulanglah kerana itu semua kuasa Allah, tapi menurut apa yang opah dengar daripada orang-orang yang pernah ternampak bayangan itu, termasuk cucu opah.

“Biasalah kadang-kadang budak-budak suka bermain waktu senja, kebetulan waktu itu mereka ternampak bayangan askar Jepun yang lengkap dengan seragam sedang berkawad,” ujarnya.