PERIA KATAK (bahasa Inggeris: bitter gourd, bitter melon, balsam pear atau balsam apple) ialah pokok menjalar subtropika daripada famili Cucurbitaceae yang dikenali sebagai sayur-sayuran dan ditanam sebagai makanan.

Pokok ini banyak ditumbuh di Asia Selatan, Asia Tenggara, China dan Caribbean untuk buahnya yang boleh dimakan dan yang merupakan sayur yang paling pahit di dunia.

Tempat asalnya tidak diketahui kecuali pokok ini berasal dari kawasan tropika. Nama botaninya Momordica charantia.
Disebabkan rasa pahitnya, lazimnya peria perlu dimasak dalam kaedah tertentu bagi mengurangkan tahap kepahitannya.

Kuih Peria Manis

Namun, hasil inovasi dan kreativiti manusia sejak turun temurun, tercipta peria manis yang sesuai dijadikan sajian minum petang.

Usah hairan kerana peria yang dimaksudkan ialah sejenis kuih yang dibentuk menyerupai sayuran tersebut tetapi mempunyai inti kelapa yang lemak manis dan diperbuat daripada tepung pulut.

peria-katakWarna hijau dan alur corak di atas kuih itu juga sama, keharuman dari daun pisang yang dialas di atas pengukus juga pasti memikat selera sesiapa sahaja.

Kuih unik ini semakin jarang didapati di gerai-gerai jualan kerana masyarakat kini semakin kurang didedahkan dengan kuih tradisional dan hingga kini ia hanya terdapat di beberapa buah tempat di Perak seperti di Changkat Jering.

Menurut Ramlah Ahmad, 54, dari Changkat Jering, kebanyakan kuih peria yang dijual di pasaran tidak menepati citarasa pelanggan kerana kuantiti inti dan rasa lemak pada kuih semakin berkurangan.

“Kuih peria mesti letak air perahan daun pandan sebab aroma dan rasa pandan yang menyedapkan rasanya, tetapi orang sekarang hanya letak air kosong sahaja.

“Tidak susah sebenarnya buat kuih peria sebab bahan-bahan yang digunakan pun ringkas dan mudah diperoleh. Nampaknya sekarang kuih ini semakin dilupakan dan kebanyakannya tidak berminat hendak belajar,” ujarnya.

Seperti Kuih Angku

Kuih peria juga dikatakan seakan-akan sama dengan kuih tradisional masyarakat Cina iaitu kuih angku, yang biasanya dimasukkan inti kacang di samping warnanya yang berbeza.

peria-katak 5Cara penyediaannya memerlukan bahan seperti tepung pulut, santan, kelapa parut, daun pandan (jika mahu boleh gantikan dengan pewarna hijau) dan daun pisang.

“Campurkan semua bahan seperti air pandan, garam dan santan kemudian uli hingga menjadi doh lembut.

“Kepalkan doh bersama inti kelapa dan letakkan ke atas daun pisang sebelum dikukus yang telah disapu minyak kelapa terlebih dahulu supaya kuih tidak melekat,” kata Ramlah.

Tempoh lima hingga sepuluh minit sahaja diperlukan bagi mengukus kuih peria, kerana jika terlalu lama, dibimbangi ia menjadi kembang dan lembik.