IPOH – Polis Perak berjaya membongkar sindiket memproses dadah dalam sebuah kuil di tepi lebuhraya Ipoh – Lumut, Jelapang dan merampas dadah jenis Methamphetamine (syabu) bernilai RM1.14 juta pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk DCP Hasnan Hassan berkata, dalam serbuan yang dibuat itu, pihaknya turut menahan lima individu berusia antara19 dan 46 tahun.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, sekitar jam 6.30 petang sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ipoh telah membuat serbuan dan berjaya menahan lima suspek di ruang legar utama tempat sembahyang kuil.

“Pemeriksaan di tempat sama juga telah menemui dadah jenis methamphetamine anggaran berat 4 kilogram, cecair methamphetamine oil anggaran isipadu 7 liter atau 11.9 kilogram serta pelbagai perlatan dipercayai untuk kegunaan memproses dadah,” katanya pada satu sidang media khas di IPK pada Khamis.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kumpulan terbabit telah menjadikan kuil berkenaan sebagai tempat memproses syabu untuk diagihkan sekitar Perak sejak kira-kira sebulan yang lalu.

“Mereka ini tidak terlibat dengan kuil itu, mereka hanya gunakan kuil itu bila ianya kosong, daripada lima suspek itu juga, salah seorang daripada mereka adalah dalang kumpulan itu,” jelasnya.

Tambah beliau, kesemua suspek yang terdiri daripada buruh dan penganggur itu juga mempunyai rekod jenayah lampau serta positif urin.

Kata beliau, kesemua suspek direman sehingga  9 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.