SUBANG JAYA: Selepas hampir 15 jam insiden rusuhan berlaku di tapak Kuil Sri Mariamman, USJ 25, Putra Heights, di sini, orang ramai masih memenuhi perkarangan kuil terbabit.

Pengunjung bertali arus datang ke kuil berkenaan sejak jam 2 petang dan jumlah itu semakin berkurangan sekitar jam 4 petang.

Bagaimanapun, kira-kira jam 6 petang, kawasan kuil dilihat kembali dipenuhi orang ramai yang dipercayai singgah untuk melihat keadaan kuil selepas waktu pejabat.

Sebuah kereta pacuan empat roda yang berada dalam keadaan terbalik masih berada di dalam kuil, manakala beberapa kenderaan di lokasi kejadian yang dilaporkan terbakar sebelum ini masih belum dialihkan.

Aliran trafik di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menghala ke Shah Alam yang melalui hadapan kuil berkenaan juga didapati sesak kira-kira dua kilometer.

Pegawai dan anggota polis juga masih ditempatkan di tapak kuil yang didakwa berusia 147 tahun oleh pengurusannya bagi memastikan keselamatan dan untuk mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, dilaporkan berkata pihaknya akan terus berada di kuil berkenaan bagi melakukan kawalan dan pemantauan.

Katanya, memandangkan di kawasan terbabit masih ramai orang berkumpul, ada kemungkinan wujudnya provokasi yang dikhuatiri boleh menimbulkan ketegangan.

Terdahulu, rusuhan tercetus di kawasan kuil berkenaan selepas perselisihan faham antara dua kumpulan kira-kira jam 2 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, 18 kenderaan termasuk dua motosikal di kawasan sekitar kuil berkenaan turut dibakar – berita harian