KUALA LUMPUR : Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran memohon maaf dan menarik balik perkataan ‘pendatang’ berhubung kenyataan bahawa orang Melayu adalah pendatang, manakala orang India sebagai penduduk asal Tanah Melayu.

Katanya, keputusan itu dilakukan bagi mengelak kontroversi berhubung isu berkenaan menjadi semakin buruk.

“Saya minta maaf atas perkara itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, berkata beliau memohon maaf terhadap kenyataan yang secara tidak langsung menyebabkan pihak tertentu tersinggung dan menarik balik segala perkataan yang mungkin dianggap keterlaluan.

“Perkataan seperti haiwan sesumpah. Ia selalu memberikan maksud berbeza dalam bahasa yang berlainan, sama seperti apabila saya bercakap dalam bahasa Tamil,” katanya.

Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu bagaimanapun menegaskan, kenyataan itu disalah anggap hingga beliau dianggap menggunakan perkataan ‘pendatang’ merujuk kepada orang Melayu, hingga menjadi subjek kontroversi dalam media.

“Saya bukan dan tidak pernah menjadi kontroversi mengenai isu-isu bangsa dan agama di negara ini, justeru akan sentiasa mematuhi apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Semalam, dalam kenyataan, beliau menafikan dakwaan mengeluarkan pandangan bahawa orang Melayu adalah pendatang, manakala orang India sebagai penduduk asal Tanah Melayu, sebaliknya menyifatkan ia sengaja diputar belit oleh pihak tertentu dengan mengabaikan latar atau konteks yang sebenar.

Kenyataan sama turut dimuatnaik di Facebooknya, bagi memperjelaskan dan seterusnya menafikan laporan sebuah akhbar tempatan yang mendakwa Melayu adalah golongan pendatang di negara ini dan penduduk asal adalah penganut agama Hindu.

Beliau yang hadir dalam satu majlis agama Hindu di Nilai, Negeri Sembilan, minggu lalu, dilaporkan berkata semua bukti mengenai kedatangan Hindu terdapat di Lembah Bujang, Kedah dengan penemuan banyak kuil di kawasan itu, dan orang India tidak layak digelar sebagai pendatang berdasarkan faktor sejarah.

Laporan disiarkan sebuah akhbar tempatan itu dibuat berdasarkan rakaman video dimuat naik dalam YouTube dan ketika itu Kulasegaran memberi ucapan dalam bahasa Tamil yang antara lain menyatakan tidak adil jika orang India digelar sebagai pendatang berdasarkan faktor sejarah itu.

-berita harian