IPOH 29 Sept. – Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran dan Penolong Setiausaha Penganjur DAP, Thomas Su Keong Siong mengesahkan menarik diri daripada pemilihan DAP negeri pada 14 Oktober ini.

Kulasegaran berkata, keputusan tersebut dibuat bagi membolehkan kedua-dua mereka memberi tumpuan penuh kepada tugas sebagai Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Kampar serta tanggungjawab pada parti di peringkat pusat.

Katanya, tindakan itu juga sekali gus bagi memberi laluan kepada muka-muka baharu untuk membarisi kepimpinan DAP negeri.

“Saya dan Thomas Su telah membuat keputusan untuk tidak bertanding meskipun nama kami dicalonkan pada pemilihan parti itu kali ini.

“Keputusan ini dibuat kerana merasakan yang kami perlu memberi lebih tumpuan kepada tugasan di peringkat pusat termasuk peranan sebagai menteri dan Ahli Parlimen,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ipoh Barat, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE