IPOH – Berikutan pengumuman kerajaan berkenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikurangkan kadar dari 6 peratus kepada kadar sifar (0%) bermula 1 Jun, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Perak hari ini telah mengadakan pemeriksaan untuk memantau harga barangan dan Ops Catut 4.0.

Operasi yang diadakan di Pasar Besar Ipoh, di sini, menyaksikan Ketua Pengawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil bersama-sama anggota, Pegawai Penguatkausa dan Pegawai Pemantauan Harga ‘turun padang’ untuk memeriksa bekalan dan harga barang basah yang dijual di pasar tersebut seawal jam 9 pagi.

Pasukan KPDNKK Perak itu memulakan pemeriksaan di Pasar Ayam Ipoh sebelum bergerak ke Pasar Besar Ipoh, di mana Shamsul Nizam dan para pegawai melakukan rutin pemeriksaan termasuk memeriksa tanda harga dan memeriksa alat timbang yang digunakan.

“Dari segi tanda harga kita nampak peniaga dah memahami supaya mempamerkan tanda harga itu, dan timbang juga mereka telah buat calibration. Ini bermakna tahap kesedaran peniaga di sini adalah tinggi dan ini memudahkan para pengguna untukmembuat pilihan setelah melihat tanda harga yang dipaparkan,” ujar Shamsul Nizam ketika ditemui media setelah selesai menjalankan operasi pemantauan dan Ops Catut 4.0 di sini, hari ini.

Menurut beliau, tujuan pemeriksaan ialah untuk memastikan bahawa kedudukan bekalan barang-barang, pemeriksaan kutipan harga dan pemeriksaan harga terhadap barang-barang basah, barang-barang kering dan juga barangan sedia masak dijual pada harga yang berpatutan,

“Jadi berdasarkan pada pemantauan kita pada hari ini, kita dapati bekalan adalah mencukupi untuk semua barang keperluan barang basah seperti ayam,telur, barang kering, barang-barang keperluan pengguna adalah stabil dan berlakunya harga yang berbeza-beza di kalangan peruncit berdasarkan harga yang diperolehi dari pembekal.

“KPDNKK akan melaksanakan pemeriksaan harga bersempena dengan musim perayaan melaui Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bila tibanya tempoh itu. Dengan cara itu, barulah peniaga, secara perundangannya, kita mewajibkan mereka mengikut syarat yang ditetapkan.

“Walaubagaimanapun, bagi peniaga-peniaga yang didapati berlakunya kenaikan harga yang dijual, contohnya ayam, pegawai kita akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi kita mendapatkan maklumat di peringkat manakah yang menaikkan harga ini dan apakah sebabnya, apakah alasannya,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Nizam memaklumkan bermula daripada 24 Mei KPDNKK Perak telah melaksanakan Operasi Catut 4.0 di mana operasi ini bertujuan untuk membuat pemeriksaan dan kutipan harga sebelum berlakunya perubahan Cukai Barangan Perkhidmatan (CBP) mulai 1 Jun 2018 daripada enam peratus kepada kosong peratus.

Jelasnya, peniaga yang telah berdaftar dengan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia selepas ini harus memastikan harga barangan dan perkhidamatan yang disediakan menjadi harga kosong peratus CBP.

“Ops Catut 4.0 akan memantau sebelum dan selepas 1 Jun makna kata sebelum pelaksanaan perubahan CBP daripada enam peratus kepada kosong peratus. Sebelum ini pun kia telah mengambil maklumat, harga-harga yang dijual bagi mereka yang berdaftar, dengan Jabatan Kastam, berapakah harga mereka jual?

“Kita lebih di peringkat peruncit di bandar dan di luar bandar. Maksudnya kita ada database sebelum dan juga selepaspelaksanaan kosong peratus CBP. Apabila kita buat pemeriksaan nanti kita boleh tahu trend dengan harga yang telah ditetapkan selepas berlakunya pengurangan CBP bagi memudahkan kita membuat pemantauan dan pemeriksaan, tambah beliau.

Shamsul Nizam berkata KPDNKK dan pihak kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang ditetapkan di bawah undang-undang untuk memastikan bekalan dan harga-harga adalah stabil di musim-musim perayaan.