KUALA LUMPUR : Kumpulan 11 Ahli Parlimen yang keluar daripada PKR dan Pakatan Harapan (PH), menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Dalam satu kenyataan bersama diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mereka menjelaskan pendirian itu diambil atas dasar ia adalah mandat sebenar yang diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kumpulan itu percaya tindakan yang diambil berpaksikan aspirasi rakyat yang mahukan sebuah kerajaan stabil, perpaduan kukuh dan penumpuan terhadap usaha memulih serta menjana pertumbuhan ekonomi mampan.

“Kumpulan kami terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan wilayah yang mengutamakan persefahaman antara kaum, agama dan kebudayaan.

“Kami menunggu giliran untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk ditemubual.

“Langkah yang kami ambil ini menunjukkan perkembangan positif dan meyakinkan. Kami sedang menangani isu-isu berkaitan secara berperingkat,” kata kenyataan itu, hari ini.

Turut dinamakan dalam kenyataan itu adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin serta Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.

Semalam, PKR memecat Mohamed Azmin dan Zuraida daripada parti berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa melakukan pengkhianatan secara terbuka.

Tidak lama selepas itu, Mohamed Azmin mengeluarkan kenyataan memaklumkan 11 Ahli Parlimen PKR termasuk dirinya, keluar daripada PKR dan PH.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, memaklumkan 90 Ahli Parlimen akan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini untuk ditemubual, sebelum baki 131 Ahli Parlimen menghadap esok.

Temubual itu dilakukan untuk baginda mendapatkan kepercayaan dan keyakinan memilih individu yang akan dilantik sebagai perdana menteri baharu.