KOTA TINGGI: Polis menumpaskan kumpulan mencuri besi di tapak pembinaan di Pengerang, dekat sini, selepas menahan lima lelaki termasuk seorang pemilik bengkel dan merampas besi bernilai RM147,404.

Kesemua 1,190 batang besi itu dirampas dalam dua serbuan di premis berasingan di Taman Universiti, Johor Bahru, pada Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah, berkata sebaik menerima laporan kecurian, risikan polis mengesan besi yang dicuri itu dipindahkan ke lokasi di kawasan Taman Universiti sebelum melakukan serbuan.

Katanya, dalam serbuan pertama di sebuah bengkel kejuruteraan di Taman Universiti, Johor Bahru, jam 5.30 petang, Isnin lalu, polis menahan seorang lelaki tempatan dan tiga pekerja warga Indonesia berusia antara 29 hingga 42 tahun.

“Dalam serbuan ini, polis menemui 917 batang besi sepanjang tiga meter (m) hingga enam m tercetak tulisan ‘linsun’ serta dicatkan dengan hijau dan kuning dipercayai barangan curi bernilai RM117,404,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Serbuan itu dilakukan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi, diketuai Inspektor P Devendiran.

Ahsmon berkata, hasil soal siasat, pihaknya menyerbu sebuah lagi bengkel di taman sama, jam 12.45 tengah hari keesokannya dan menahan seorang lelaki warga asing asing berusia 71 tahun dipercayai pemilik bengkel.

Dalam serbuan itu, katanya, pihaknya merampas 273 batang besi sepanjang 0.9 m hingga empat m bernilai kira-kira RM30,000.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan itu menyasarkan untuk mencuri peralatan besi di kawasan pembinaan di Pengerang dan dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 411 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan – berita harian