IPOH: Kumpulan yang memanjat tanda mercu `IPOH’ di Jalan Kuala Kangsar, baru-baru ini tampil memohon maaf secara terbuka kepada masyarakat.

Wakil kumpulan, Norfarihan Baharuddin, 24 memberitahu mereka amat menyesali perbuatan yang dilakukan minggu lalu itu dan berjanji tidak akan mengulanginya.

“Kami dari mula ianya viral lagi memang nak sangat memohon maaf kepada masyrakat sebenarnya tetapi tidak diberi peluang dan terus dikecam.

“Saya dan rakan-rakan jadi takut untuk mengeluarkan sebarang kenyataan, tetapi sekarang kami semua mahu memohon maaf kepada masyarakat dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas selepas bertemu Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahaya di sini pada Rabu.

Norfarihan menjelaskan bahawa aksi yang mereka lakukan bukanlah untuk meraih populariti tetapi lebih kepada minat mendalam terhadap aktiviti mendaki dan mencabar.

“Perkara ini jadi viral apabila saya telah ditemubual oleh sebuah laman media, saya ingat agensi itu merupakan pelajar universiti atau sekolah, jadi saya layan, tapi rupanya mereka berpengaruh dan telah membolehkan aksi kami itu menjadi viral.

“Kalau melihat latarbelakang kami semua, memang kami minat mendaki dan telah banyak tempat kami daki sebelum ini seperti di Thailand dan Indonesia, ianya bukan pendakian pertama kami,” ujarnya.

Terdahulu kumpulan tersebut telah meluangkan masa hampir satu jam bersama Shahrul Zaman menjelaskan perkara yang sebenar mengenai aksi yang dilakukan tersebut.

Sementara itu, Shahrul Zaman memberitahu, pihaknya telah mencadangkan kumpulan tersebut menyertai kelab memanjat di bawah naungan Perak Silver Youth.

“Di bawah kelab itu nanti, mereka boleh mencadangkan tempat-tempat yang hendak didaki dan kita akan memberikan nasihat yang sewajarnya.

“Kita perlu jadikan perkara ini sebagai pengajaran, walaupun kita faham dengan kesilapan mereka tetapi dalam masa yang sama kerajaan negeri perlu tegas supaya pada masa depan tiada lagi perkara sebegini berlaku,” katanya.