KLUANG: Polis menumpaskan satu kumpulan pecah cermin dan curi barangan dalam kenderaan di sekitar taman rekreasi di daerah ini, sejak Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail, berkata bertindak atas maklumat orang ramai dan siasatan, pihaknya melakukan beberapa siri tangkapan dengan tangkapan pertama membabitkan dua lelaki tempatan lingkungan 30-an di Taman Kluang Barat, di sini, jam 4.50 petang semalam.

“Hasil soal siasat kedua-dua suspek itu, kami menahan dua lagi ahli kumpulan berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 23 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di dua kedai alat telekomunikasi berasingan di sekitar bandar Kluang, pada jam 8.10 malam, hari sama.

“Hasil siasatan ke atas keempat-empat suspek, kami menemui semula beberapa barangan berharga dipercayai hasil curi dan peralatan digunakan untuk memecahkan kenderaan yang disembunyikan di sebuah rumah di Taman Kluang Indah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Abduh berkata, antara barangan ditemui di rumah itu ialah tiga telefon bimbit pelbagai jenama, satu komputer riba, pemotong dawai, pemutar skru, pahat, kad bank, lesen memandu dan sebuah kereta Nissan Almera.

Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM30,000 dan siasatan awal mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala dua lagi tiada rekod kesalahan.

“Ujian saringan air kencing mendapati keempat-empat suspek negatif dadah. Kesemua suspek direman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan dan kami percaya dapat menyelesaikan tujuh kes pecah dan curi dalam kenderaan di sekitar daerah ini.

“Hasil soal siasat, kumpulan ini mengaku aktif melakukan perbuatan itu di beberapa rekreasi daerah ini seperti di Pusat Rekreasi Gunung Lambak, Taman Rekreasi Tasik Putih dan Kolam Renang Kluang Barat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Berikutan itu, katanya, pengadu yang membuat laporan polis diminta datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk pengecaman barang kes – berita harian