IPOH: Kumpulan Pengakap Terbuka Shiang Yang Bercham (KPTSYB) bakal mencipta rekod ketiga dalam The Malaysia Book Of Records (TMBOR) dengan pembinaan Struktur Perintis Pengakap Terpanjang di Malaysia.

Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Perak Voon Yeow Hong berkata, pengikitirafan itu akan diberikan secara rasmi pada 24 Disember depan, di Taman Rekreasi Kampung Baru Bercham.

Menurut beliau, struktur mega dengan kepanjangan 80 meter itu ketika ini sedang dalam pembinaan di taman rekreasi itu dan berada di tahap 70 peratus.

“Ianya akan siap sepenuhnya pada Ahad depan dan ia dibina oleh 30 ahli KPTYSB yang melibatkan SMK Bercham dan Jalan Tasek, menggunakan 1,600 Kayu Bakau serta Buluh sejak dua minggu lalu,” katanya pada satu sidang media di Bercham pada Rabu.

Yeow Hong yang juga merupakan Pengarah Projek itu berkata, pada hari pengiktirafan, seramai 1,600 ahli pengakap seluruh negara termasuk Brunei, Singapura, Jepun dan Taiwan akan datang menyaksikan peristiwa bersejarah berkenaan.

“Kita akan mengadakan pelbagai aktiviti serta pertandingan pada hari berkenaan, selain menyaksikan pengiktirafan berkenaan.

“Kita harapkan selain mencipta sejarah, dalam masa sama kita juga harapkan ianya akan menjadi salah satu tarikan untuk pelancong datang melihat stuktur itu sempena Tahun Melawat Perak 2017 tahun depan,” ujarnya.

Sebelum ini KPTSYB telah mencipta rekod sebanyak dua kali di bawah TMBOR iaitu Stuktur Sarang Burung Perintis Pengakap terbesar dan Menara Perintis Pengakap Tertinggi di Malaysia.