BATU KURAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengesan kewujudan sebuah kumpulan yang sengaja menviralkan maklumat palsu di media sosial kononnya harga beberapa barangan telah dinaikkan.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kumpulan tersebut sengaja melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu untuk membangkitkan perasaan benci terhadap kerajaan di kalangan rakyat.

Tegasnya, jika tidak dibendung segera, ia akan mengelirukan rakyat, sekaligus memberi kesan negatif kepada kerajaan.

“Perkara-perkara seperti ini yang diviralkan boleh menyebabkan rakyat merasakan seolah-olah kerajaan hari ini langsung tidak bertanggungjawab.

“Ada kumpulan-kumpulan dan pihak-pihak yang memang sengaja hendak perkara ini berlaku,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Veteran Larut di sini pada Sabtu.

Menurut Hamzah, dalam kes terbaharu, terdapat pihak yang menviralkan kononnya gas memasak atau Gas Petroleum Cecair (LPG) naik harga walaupun KPDNKK telah berulang kali menegaskan bahawa tiada kenaikkan harga.

Sehubungan itu, ujarnya, satu laporan polis akan dibuat terhadap individu-individu berkenaan supaya mereka dibawa ke muka pengadilan.

“Kita dah jelaskan, tiada kenaikkan untuk LPG setakat ini tetapi kenaikkannya tetap lagi diviralkan dan saya telah pun meminta pegawai saya buat laporan polis.

“Ianya untuk pastikan orang seperti ini dibawa ke mahkamah untuk mereka faham jangan menakut-nakutkan rakyat dan jangan merosakkan pemikiran rakyat sehingga berlaku perpecahan di negara ini,” tegas Hamzah.