KUALA SEPETANG: Kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sempena program permukiman di Kampung Hujung Matang, di sini hari ini memberi sinar baru kepada satu keluarga miskin di kampung berkenaan.

Bagi Mardiah Din, 48, janda anak empat, kunjungan Dr Zambry ke rumahnya di membawa penuh makna, sekaligus merubah kehidupannya anak beranak.
Dia sangat bersyukur apabila Menteri Besar membawa khabar gembira bahawa keempat-empat anaknya itu akan dijadikan anak angkat Yayasan Bina Upaya (YBU).

Dua anak kembar sulongnya, Norizah Azmi dan Norhabshah, 17, serta Norsuhaila, 13 belajar di SMK Matang manakala anak bongsunya Mohd Azim, 6, bersekolah di SK Matang.

“Saya merasa amat terharu apabila Dr Zambry memberitahu bahawa anak-anak saya diambil sebagai anak angkat YBU bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna sehingga ke peringkat pengajian tinggi nanti,” katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di rumahnya pada Khamis.

Mardiah yang bekerja sebagai pengopek ikan bilis menceritakan kisah kesusahan hidupnya bermula apabila suaminya, Azmi Mohd Yatim, 50, meninggal dunia dua tahun lalu akibat paru-paru berair.

“Sebelum ini arwah suami yang menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah tetapi sekarang, saya pula mengambil alih tugas itu dengan menggunakan sebuah motosikal,” ujarnya.


Menurut Mardiah, walaupun menerima bantuan bulanan RM400 dari Jabatan Kebajikan Taiping tetapi ia tidak mencukupi menampung perbelanjaan keluarga.

“Saya bersyukur kerana ada juga jiran-jiran yang tampil membantu meringankan beban kami sekeluarga dengan menghulur bantuan makanan dan sumbangan wang tunai,” katanya.

Menceritakan kisah keluarganya, Mardiah berkata, dia sedih kerana ada kalanya anak-anak tidak bersarapan dan tiada wang untuk belanja sekolah.

“Apa yang ada, kami lima beranak makanlah… kadang-kadang makan maggi dan nasi goreng kosong,” ujarnya dalam nada sedih.

Sehubungan dengan itu, dia merayu agar ada pihak yang sudi tampil untuk membantu meringankan beban hidup keluarganya.