PERIUK KERA sinonim sebagai tumbuhan karnivor tetapi akhir-akhir ini, ia dijadikan kelongsong untuk menyediakan lemang, makanan tradisi orang Melayu semasa menyambut Aidilfitri.

Walaupun makanan unik itu sudah tular di beberapa buah negeri di Malaysia, namun di Perak, ia masih baru dan tidak diketahui ramai.

Kebiasaannya, Periuk Kera atau nama saintifiknya, Nepenthes tumbuh di tanah berasid atau berpaya; ia bersifat karnivor dengan memerangkap serangga ke dalam periuknya bagi membekalkan nitrogen kepada tumbuhan itu.

Di Perak, bilangan pengusaha lemang Periuk Kera masih boleh dibilang dengan jari berikutan kesukaran untuk mendapatkan kuntuman Periuk Kera di negeri ini, sebaliknya ia terpaksa diperoleh dari tempat lain.

Bekalan Periuk Kera Terhad

Shahrul Nizam Malek, 39, dan adik iparnya, Nursyafina Zainal Abidin,26, merupakan antara pengusaha lemang periuk kera yang gigih menghasilkan hidangan ini Capture 1meskipun berhadapan dengan cabaran dan risiko tersendiri.

“Perkara paling penting untuk membuat lemang Periuk Kera ialah memastikan ia dicuci dengan sempurna. Selalunya, saya menggunakan berus gigi bagi menyental bahagian dalam periuk yang bertujuan membersihkan bulu-bulu atau serangga yang terperangkap dalam Periuk Kera.

“Untuk mengukusnya senang sahaja tetapi proses membersih periuk kera itu yang memakan masa agak lama,” kata Shahrul Nizam ketika ditemui Suara Perak di Desa Pengkalan Bandaraya di Ipoh, baru-baru ini.

Beliau yang menjalankan perniagaan lemang Periuk Kera secara tunai semasa penghantaran (COD) mengakui sukar mendapatkan bekalan Periuk Kera di negeri ini dan perlu menempahnya dari Melaka.

“Saya sudah cari merata-rata tempat terutama di tepi lebuhraya, di Lahat dan juga di sekitar Bukit Kledang tetapi spesies yang ditemui tidak sesuai untuk dijadikan lemang. Bentuknya terlalu kurus atau nipis, kerana itu penghasilan lemang ini agak terhad,” ujarnya.

Atas faktor itu, Sharul Nizam akan mendapatkan bekalan Periuk Kera setiap dua atau tiga hari daripada kenalannya di Melaka. Bekalan itu akan dihantar menggunakan perkhidmatan bas antara Melaka–Ipoh.

Hidangan Istimewa Aidilfitri

22Sementara itu, Nursyafina yang turut menjual lemang periuk kera itu di Bazar Ramadan Desa Aman, berkata, makanan unik itu sering mencuri tumpuan ramai terutama mereka yang pertama kali melihatnya.

“Ramai orang yang lalu lalang di bazar ini akan berhenti di gerai kami. Selalunya, mereka akan bertanya tentang lemang Periuk Kera dan tidak kurang juga yang agak terkejut melihatnya,” kata beliau yang mempelajari resepi lemang itu daripada kakak dan abang iparnya.

Menurutnya, satu set lemang Periuk Kera yang mempunyai tiga kuntum lemang bersaiz besar, sederhana dan kecil dijual pada harga RM6.

“Ada yang kata harganya agak mahal tetapi kami tidak dapat menjual lebih murah kerana kos Periuk Kera itu sendiri mahal. Harga sekuntum Periuk Kera ialah 50 sen dan payah untuk diperolehi,” katanya.

Pada hakikatnya, kata Nursyafina, lemang versi baharu itu sesuai dijadikan menu Aidilfitri, lebih-lebih lagi rasanya yang lemak dan wangi berbanding lemang yang dibakar di dalam buluh.

Antara Risiko Dan Minat

2d4e3e44-df31-4869-9592-4612038b6f8c

Risiko kerosakan kuntuman Periuk Kera sehinggalah kepada rungutan harga mahal daripada orang ramai sedikit pun tidak membantutkan usaha Shahrul Nizam dan Nursyafina untuk terus membuat dan menjual lemang itu.

“Kesabaran dan minat perlu ada kalau mahu berniaga. Saya sudah melalui bermacam-macam cabaran seperti Periuk Kera rosak dan bocor apabila sampai ke Ipoh.

“Kita kenalah cari jalan penyelesaian. Kalau bocor sedikit boleh lagi tampal dengan kulit popia di bahagian dalamnya. Untuk penyelesaian jangka panjang, saya berusaha mencari benih periuk kera dan akan tanam sendiri,” kata Shahrul Nizam menutup bicara.