SERI ISKANDAR : Kerajaan Perak memperuntukan kuota 5% untuk memiliki rumah di bawah seliaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak (LPHP) kepada golongan orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan belia.

Menurut Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, ia merupakan pendekatan terbaru kerajaan negeri dalam membela nasib ketiga golongan itu untuk memiliki rumah sendiri.

17201445_1361632107245810_1965332994617512060_n

“Kita membuat keputusan dalam mesyuarat baru-baru ini 5% itu kena bagi juga kepada OKU kalau ada, kalau tiada tidak apa lah.”

“Kalau kawasan itu ada 100 unit rumah maka 5% daripada unit itu hendaklah diberikan kepada tiga golongan ini,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Rumah Amanjaya di Felcra Nasaruddin sempena Program Pemukiman Daerah Perak Tengah di sini pada Khamis.

Projek itu yang merupakan projek pertama dilancarkan di negeri Perak di bawah (LPHP) membabitkan pembinaan 112 unit rumah.

Buat permulaan bagi fasa pertama 50 unit rumah akan dibina manakala bakiny akan dibangunkan pada fasa ke dua.