PETALING JAYA : Bekas Perdana Menteri Najib Razak mendakwa, sekiranya Barisan Nasional (BN) masih mentadbir Putrajaya kuota haji bagi negara ini boleh mencecah 45,000 hasil hubungan baiknya dengan raja Arab Saudi.

Beliau berkata kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusuf Rawa bahawa kuota rasmi bagi haji di Malaysia naik lebih 1,000 tidak bermakna kerana ia meningkat berdasarkan populasi penduduk.

“Kekanda tidak berguna, ada kekanda pun bazir duit beras. Letak Khalid Samad, Teresa Kok juga kuota akan tetap naik. Letak Mohamad Sabu untuk buat sambal belacan juga kuota akan tetap naik.

“Cuma saya hendak kata semasa BN tahu tak berapa kuota haji kita dapat, sekurang-kurangnya 42,200. Saya congak, mungkin tahun ini dah boleh dapat kira-kira 45,000 kuota.

“Ini adalah hasil daripada hubungan baik saya dan BN dengan raja Arab Saudi,” katanya di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Mujahid memberitahu kuota rasmi haji Malaysia naik lebih 1,000 orang iaitu meningkat kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah tahun lepas.

Perkembangan ini susulan daripada perbincangan mengenai hal ehwal jemaah haji antara Mujahid dan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Mohammed Saleh Taher Benten di Mekah semalam.

“Kita diberikan kuota 30,200 jemaah berpandukan 0.01% penduduk yang diambil populasi kita yang tidak dikemas kini (iaitu populasi 30 juta) tetapi mengikut versi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2017, penduduk Malaysia telah meningkat iaitu 31,600,000,” kata Mujahid.