PARIT BUNTAR – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan berita kononnya kerajaan Arab Saudi mengurangkan bilangan kuota haji untuk rakyat Malaysia setelah Kabinet membuat keputusan untuk menarik kembali bilangan tentera yang terlibat di dalam operasi peperangan pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi ke atas Yaman.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata tindakan menularkan berita tidak sahih itu hanya akan memudaratkan hubungan negara dengan kerajaan Arab Saudi.

Menafikan berita tersebut, Ajli Parlimen Parit Buntar itu berkata peruntukan untuk kuota jemaah haji ditentukan oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan tidak melibatkan kerajaan Arab Saudi.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya bahawa berita kerajaan Arab Saudi mengurangkan bilangan kuota haji itu tidak betul.

“Kita masih menerima 30,200 kuota yang diperuntukkan mengikut penduduk seperti yang diputuskan oleh OIC. Hubungan kita dengan Arab Saudi amat baik khususnya mereka sentiasa menjadikan Malaysia sebagai keutamaan berbanding dengan mana-mana negara yang lain sebab itu kita punya kuota sentiasa berada pada tahap yang baik termasuk tambahan-tambahan kuota yang kita minta,” kata beliau pada satu sidang media setelah menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Parit Buntar Dan Dun Titi Serong Bersama Pemuda Amanah Negeri Perak di Dataran Kerian Permai di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan Dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim serta Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian Dan Perladangan YB Abdul Yunus Jamhari.

Terdahulu, Kabinet memutuskan untuk menarik balik anggota tentera Malaysia yang ditempatkan di Arab Saudi bagi mengelakkan mereka terlibat dalam peperangan pakatan negara Arab pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman sejak 2015 sehingga kini.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata kehadiran tentera malaysia di negara itu yang dihantar oleh pentadbiran sebelum ini menyebabkan negara secara tidak langsung diheret ke dalam konflik di Timur Tengah.

Sementara itu, mengulas mengenai musim haji yang akan bermula tidak lama lagi, Mujahid berkata kapal terbang pertama akan berangkat ke tanah suci Mekah pada 14 Julai ini.

“Kapal terakir dijadualkan berlepas pada 14 Ogos, manakala penerbangan kembali dari Mekah ke tanah air yang pertama dijangka pada 29 Ogos ini,” kata beliau.

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri itu dihadiri oleh kira-kira 10,000 tetamu dari pelbagai kaum dan lebih dari 20 juadah raya di 10 buah gerai disediakan untuk para pengunjung yang membanjiri dataran tersebut seawal jam 2.30 petang.