WANITA warga emas kerugian kira-kira RM20,000 apabila disamun empat lelaki yang menceroboh rumahnya di Rumah Rakyat Dangi, Johol, Kuala Pilah, semalam.

Dalam kejadian 8.45 pagi itu, V Pataiyah, 70, berkata, kumpulan suspek yang memakai topi keledar penuh masuk ke rumahnya melalui pintu depan yang tidak berkunci.

“Ketika itu, saya di dalam rumah bersama anak perempuan yang juga orang kelainan upaya (OKU) berusia 46 tahun serta madunya yang berusia 49 tahun selain cucu berusia tiga tahun.

“Tiba-tiba seorang lelaki tidak dikenali meluru masuk sebelum menolak, menumbuk muka dan memijak perut saya beberapa kali. Dia kemudian meragut rantai leher saya sebelum tiga lagi lelaki lain masuk dan menggeledah rumah.

“Mereka juga memukul anak perempuan saya sebelum melarikan beberapa barang kemas yang dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya di sini, hari ini.

ADVERTISING

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, usaha mengesan kumpulan suspek sedang dijalankan.

“Sebaik polis tiba di lokasi kejadian, semua suspek sudah melarikan diri menggunakan dua motosikal.

“Kita mendapati, dua mangsa mengalami kecederaan ringan akibat terbabit dalam pergelutan dengan beberapa suspek. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya – hmetro