HUTAN MELINTANG – Kurang pendedahan dan aktiviti merupakan punca mengapa tidak ramai pelajar sekolah dan golongan muda menjadi sukarelawan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) di negara ini.

Presiden Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam, Datuk Seri Baharudin Abu berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan perlu memainkan peranan membantu PBSM memperbanyakkan aktiviti-aktiviti bagi menarik penyertaan ramai menjadi sukarelawan.

“Kerana itu, kami Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam mengambil inisiatif membantu PBSM di daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk dalam menganjurkan aktiviti seperti jamuan guru dan pelajar yang menyertai PBSM hari ini.

“Walaupun tidak seberapa sekurang-kurangnya kita dapat menambah aktiviti lain buat mereka selain daripada kursus asas dan kepimpinan yang disediakan buat mereka,” katanya kepada Sinar Harian selepas hadir pada Majlis Jamuan Guru-Guru Pemimpin PBSM Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk, Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak, Sungai Sumun, di sini, semalam.

Baharudin yang juga pernah menjadi ahli PBSM semasa di sekolah turut menyeru pelajar dan golongan muda supaya tidak malu menjadi sukarelawan PBSM kerana mereka akan diberikan pendedahan mengenai ilmu rawatan semasa kecemasan.

“Anda juga akan diberikan kursus kepimpinan, selain di ajar berdisiplin seperti unit uniform yang lain termasuklah berkawad dan ia akan menjadi ilmu serta pengalaman berharga untuk dikenang,” katanya.

Sementara itu seramai 20 guru pemimpin dan 40 pelajar sekolah menengah dan rendah yang merupakan ahli PBSM diraikan pada jamuan kali ini anjuran Pertubuhan Sentuhan Kasih Al-Qalam – sinar