SERI ISKANDAR: Kerajaan akan memastikan kebergantungan universiti awam kepada kerajaan dikurangkan kepada 70 peratus menjelang tahun 2020.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, langkah itu dibuat bagi menggalakkan institusi berkenaan memaksimumkan penggunaan asetnya.

 

Menurut beliau, ia juga selaras dengan Pelan Tindakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 yang tidak mahu universiti awam terlalu bergantung kepada kerajaan.

 

“Untuk tahun 2020 nanti, kita akan memastikan pergantungan universiti awam kepada kerajaan akan menurun kepada 70 peratus.

 

“Dalam perbincangan saya dengan ramai Naib Canselor mengenai perkara ini, mereka merasa mempunyai kapasiti untuk menjana pendapatan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan R&R Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini pada Selasa.

Hadir sama Pro Chancellor UTP, Tan Sri Sidek Hassan.

Menurut Idris, sekarang ini pergantungan universiti awam kepada kerajaan adalah di antara 80 hingga 90 peratus dan ia dianggap terlalu tinggi berbanding universiti-universiti luar negara yang hanya bergantung 30 hingga 40 peratus kepada kerajaan.

 

Justeru itu, ujarnya, universiti awam tidak harus leka dan berada dalam kepompong keselesaan, sebaliknya harus bertindak lebih efisien untuk menjana pendapatan sendiri.

 

Idris berkata, beliau amat berbangga melihat kejayaan yang dicapai UTP dalam pelbagai bidang penyelidikan, termasuk bidang bahan binaan yang membawa faedah besar kepada rakyat.