IPOH: Kerajaan negeri berhasrat menambah satu atau dua lagi syarikat yang akan diberi tanggungjawab untuk membina lebih banyak menara telekomunikasi bagi mengurang kawasan titik buta (blind spot) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia Dan NGO negeri, YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, buat masa ini, terdapat hanya dua sahaja syarikat yang membina menara itu sejak 2016.

Menurut beliau, setakat ini, kedua-dua syarikat itu hanya mampu membina kira-kira 20 buah menara pemancar telekomunikasi sahaja di negeri ini.

“Di samping itu, terdapat enam buah menara telekomunikasi di negeri ini yang terpaksa dipindahkan ke Kedah kerana karenah birokrasi,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan negeri sangat prihatin terhadap masalah titik buta (blind spot) dan sedang berusaha untuk memperbaikinya.

Beliau menambah antara usaha yang dilakukan ialah meningkatkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan-kawasan berpenempatan di negeri ini.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, definasi menara haram ialah yang tidak berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi tidak boleh dirobohkan sewenang-wenangnya kerana perlu mendapat perintah mahkamah.

YB Hasnul turut memberitahu bahawa dalam tempoh tiga hingga enam bulan ini, kerajaan negeri akan mempromosikan penggunaan 66 buah pusat internet yang terdapat di seluruh negeri.